RM3 Juta Skim Bantuan Atlet Disambung Semula

 

ALOR SETAR - Bantuan kebajikan yang dibekukan sebelum ini kepada bekas atlet kini bakal disalurkan semula selepas dua bulan terhenti.

Pengurus Besar Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Zuhairi Badul Manaf berkata, terdahulu surat jaminan (GL) daripada yayasan itu dibekukan sejak 1 Mei lalu disebabkan oleh lewat menerima peruntukan.

Atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyalurkan dana sebanyak RM3 juta, skim bantuan tersebut dapat disalurkan semula.

“Namun atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau menyalurkan dana RM3 juta dua hari sebelum Aidilfitri lalu.

“Jadi bermula 1 Ogos ini, kita mengeluarkan semula GL buat bekas atlet yang mendapatkan rawatan di hospital yang dibeku sebelum ini.

“Ini memberi kelegaan kepada sebahagian besar bekas atlet yang begitu mengharap bantuan daripada aspek perubatan yang disalurkan yayasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menyampai sumbangan kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah di rumahnya di Taman Peruda, Yan, semalam.

Selain itu, beliau turut berbesar hati dengan keprihatinan dan sikap ambil berat YAKEB yang tidak pernah mengabaikan kebajikan bekas atlet kebangsaan.

“Saya berterima kasih kepada YAKEB kerana sentiasa mengambil berat dan sering bertanya khabar saya, begitu juga Kuppan dan rakan lain yang amat mengambil berat masalah kesihatan saya,” katanya. - Kedahnews.com