RM5.8 Bilion Wang Tak Dituntut, Pemiliknya Diminta Buat Semakan


KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menuntut hampir RM5.8 bilion wang tak dituntut (WTD) yang kini masih berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara selaku pemegang amanah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, jumlah itu melibatkan lebih 55 juta akaun seperti simpanan, semasa atau perniagaan sejak tahun 1977 yang direkodkan sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 25 kaunter Bahagian WTD disediakan di seluruh negara untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

“Ia melibatkan sebanyak 13 kaunter di Semenanjung Malaysia, Sarawak (7) dan Sabah (4). Kita juga akan membuka sebuah kaunter baharu di Putrajaya dalam masa terdekat.

“Individu yang terbabit perlu hadir sendiri ke mana-mana kaunter WTD untuk membuat semakan dan menuntut wang mereka,” katanya.

Beliau memberitahu sebagai pemegang amanah, kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang tersebut dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehingga dituntut.

“Dalam tempoh itu, wang sebanyak RM5.77 bilion tersebut akan diurus mengikut tata cara kewangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Sementara Jabatan Akauntan Negara Malaysia kini dalam proses bagi membangunkan portal semakan dan permohonan WTD secara atas talian dan sistem itu dijangka akan beroperasi tahun depan.

Ketika ini, pengguna boleh membuat semakan di semua pejabat Akauntan Negara di setiap negeri di seluruh negara.- Kedahnews.com