RM80 Juta Bina 500 Rumah Generasi Kedua Felda, Kesedar Di Gua Musang


KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan RM80 juta bagi membina 500 unit rumah bagi generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, peruntukan itu merupakan baki daripada pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang ditangguhkan buat sementara bagi memberi laluan pembinaan rumah generasi kedua Felda dan Kesedar.

"Lagipun kerajaan sudah menyiapkan 1,000 unit rumah PPR di bandar ini yang diagihkan kepada penduduk dan pembinaan baki 500 unit yang dijanjikan sebelum ini ditangguhkan sementara waktu," katanya.

Beliau menyatakan demikian elepas menyempurnakan penutupan mesyuarat agung pertama Gabungan Generasi Kedua (G2K) Kesedar di Dewan Paloh 1 di Gua Musang, Kalantan semalam.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata pembinaan rumah generasi kedua, yang berbentuk flat dengan pelbagai kemudahan termasuk lif, akan dimulakan sebaik semua urusan berkaitan selesai dan tapak bagi tujuan itu dikenal pasti Kesedar.

Masalah kediaman generasi kedua itu menjadi keutamaan untuk diselesaikan dalam masa terdekat kerana mereka sudah sekian lama hidup menumpang bersama ibu bapa walaupun sudah berumah tangga, katanya.

Sementara itu Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 merupakan ilham Allahyarham Tun Abdul Razak bagi tujuan pembangunan tanah dan penempatan semula untuk membasmi kemiskinan melalui penanaman sawit serta getah.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-60 Felda dan sambutannya diadakan selama tiga hari sehingga 23 Julai dengan jangkaan 50,000 pengunjung akan menghadirinya bagi menyaksikan pelbagai acara  yang diadakan di Putrajaya. - Kedahnews.com