“Sakit Seperti Dicucuk Paku” – Fazli Zainal


DUA hari menjelang syawal, penyanyi Fazli Zainal dikhabarkan telah mengalami kesakitan teruk pada kedua-dua belah tapak kakinya sehingga ada yang menyangka dia terkena buatan orang.

Fazli, 40, berkata dia terpaksa menderita selama seminggu tidak boleh bergerak disebabkan kakinya membengkak seperti dicucuk paku.

"Kaki mula rasa sakit dua hari sebelum hari raya tapi waktu itu saya tidak ambil serius sangat. Namun, pada pagi 1 Syawal kaki semakin sakit dan kebetulan pula saya ada persembahan di program MHI. 

"Sebab nak juga teruskan kerja, saya hanya ambil ubat tahan sakit. Selang beberapa minit, muka saya pula bengkak dan badan naik gatal-gatal. 

"Nasib baik ketika itu Ifa Raziah ada membawa ubat alahan untuk kurangkan rasa gatal. Selesai saja kerja, saya bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Doktor beritahu kemungkinan saya berdiri terlalu lama menyebabkan kaki penat dan membengkak. Sepatutnya saya kena tahan wad kalau kaki tak baik selepas tiga hari tapi saya minta untuk berehat di rumah saja.

"Tak sangka pula keesokkan hari kaki semakin teruk dan bengkak seperti dicucuk paku. Selama seminggu saya tidak boleh berjalan.

"Alhamdulillah selepas saya makan ubat ikut masa dan rendam kaki dalam air garam, bengkak mula surut dan boleh jalan semula," kata Fazli ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Namun, Fazli atau nama sebenar Mohd Fazli Zainal menafikan perkara tersebut ada kaitan dengan sihir.

"Saya pun tak tahu la benda ini ada kaitan dengan buatan orang atau tak. Tapi lebih baik saya percaya pada hospital dan ubat yang doktor berikan saja," ujarnya.

Fazli tidak mahu berkongsi foto kaki dia kepada umum supaya tiada yang salah faham dengan keadaannya.

Menurut Fazli, dia berdiri terlalu lama ketika menjadi pengacara Mood Republik yang diadakan di empat buah lokasi sepanjang bulan Ramadan.

Berbalik kepada karier nyanyian, Fazli kini sibuk mempromosikan lagu terbaru bersama Bob Yusof berjudul Kurnia.

"Buat masa sekarang, saya masih meneruskan promosi lagu bersama Bob Yusof iaitu Kurnia.

"Biarpun lagu ini menceritakan tentang Lailatul Qadar, saya masih mengekalkan genre pop balada bukan nasyid," kata Fazli.

Sumber: Mstar Online