KOTA BHARU - "Saya terkejut sebaik sahaja mendongak ke langit dan melihat 'kepala angin' datang dari arah pasaraya Mydin Mall, Kubang Kerian," kata saksi kejadian ribut teruk, pemandu kereta sewa, Abdul Hadi, 40-an.
Kejadian angin kencang dan ribut kira-kira jam 7 petang semalam menghampiri waktu Maghrib menyebabkan banyak premis perniagaan, bumbung stesen kereta sewa rosak, malah lebih menyedihkan, Wad 6 Selatan iaitu Wad Kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini turut mengalami kerosakan.
Kata Abdul Hadi, selepas garaj dan pondok kutipan bayaran parkir di Mydin Mall rosak, angin berkenaan beralih ke tempat stesen kereta sewa.
"Stesen ini boleh memuatkan enam kereta sewa runtuh menyebabkan bumbungnya melayang ke gedung pakaian, Jakel, yang terletak berhampiran.
"Di lokasi inilah Bomba dan Penyelamat membantu menurunkan bumbung zink yang tersangkut pada wayar elektrik di hadapan Jakel," kataya.
Anggota Bomba dan Penyelamat menurunkan papan tanda yang tercabut akibat ribut.
Keadaan stesen berkenaan segera dilawati Pengerusi Jawatankuasa Pembangunn Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Mumtaz Md Nawi sejurus selepas kejadian.
Menurut Mumtaz, beliau terus bergegas ke pasaraya Mydin Mall, Jakel dan HUSM setelah dimaklumkan kejadian ribut yang kuat melanda sekitar Bandar Baru Kubang Kerian.
"Kejadian ribut ini menyebabkan papan tanda Jakel tumbang, bumbung kedai makan berhadapan Jakel juga tercabut dan atap laluan pintu hadapan Mydin juga tercabut.
"Alhamdulilah kejadian ribut yang berlaku di HUSM, 6 Selatan iaitu di wad kanak-kanak tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.
"Semasa lawatan, pesakit kanak-kanak di Wad itu (6 Selatan) dipindahkan ke Unit Trauma sebagai Wad Sementara," katanya.
Mumtaz (tiga, kiri) melihat bayi yang dipindahkan ke wad sementara (Unit Trauma).
Beliau yang juga Adun Demit menasihatkan semua berjaga-jaga terutama yang berada dilaluan 'angin' sewaktu hujan terutama ketika hampir Maghrib.
"Pastikan kanak-kanak berada di dalam rumah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Katanya, beliau mendapat makluman, ada rumah persendirian turut dilanda ribut dan lawatan susulan akan dilakukan dari semasa ke semasa.
Sumber: Sinar Harian