Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ditunda 22 Julai


GEORGE TOWN - Majlis sambutan ulang tahun ke-79 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada 8 Julai ini ditunda kepada 22 Julai sebagai menghormati bulan Syawal.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus berkata istiadat kawalan kehormatan dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan akan diadakan pada tarikh berkenaan di Dewan Sri Pinang, di sini.

"Oleh kerana Hari Raya Aidilfitri masih disambut dengan rancak, kita tunda majlis sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 22 Julai ini," katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan yang seterusnya akan diadakan pada 25 hingga 27 Julai ini.

Bagaimanapun, Farizan berkata majlis kesyukuran dan bacaan Yasin sempena sambutan ulang tahun itu akan diadakan di Masjid Negeri Pulau Pinang, Khamis ini,  pada pukul 6.30 petang.

"Pada Sabtu ini (8 Julai) yang sepatutnya ulang tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, kita akan adakan majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Kompleks Sukan Balik Pulau pada pukul 10 pagi. Kita akan buat majlis memotong kek pada hari itu," katanya. - BERNAMA