LELAKI ditahan ketika cuba melarikan diri dengan nekad melanggar kereta polis di Taman Selat Selatan, Pelabuhan Klang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melepaskan tembakan di Lorong Selat Selatan 7 pada 12.05 tengah malam.
"Sepasukan anggota dari Balai Polis Klang dan Balai Polis Pandamaran mula mengekori kereta mewah dari simpang empat Jalan Banting menghala ke kawasan Pandamarann, 9.50 malam tadi.
"Setibanya di Lorong Selat itu, suspek berusia 29 tahun memberhentikan keretanya namun melanggar kereta polis ketika anggota memperkenalkan diri untuk menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.
Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.
"Pada waktu itu, suspek turut melanggar pagar sebuah rumah berdekatan dalam usaha meloloskan diri namun ditahan," katanya.
Kata Alzafny, siasatan pihaknya mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan kereta mewah itu turut dilaporkan hilang di Klang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh," katanya.
Sumber: Metro