Sarawak Sasar Siapkan Rangkaian Jalan Raya Menjelang 2030


Sarawak menetapkan sasaran untuk menyiapkan pembinaan rangkaian jalan raya menjelang 2030 agar negeri ini mempunyai ketersambungan sepenuhnya melalui projek Lebuhraya Pan Borneo bagi merangsang pembangunan baharu di sepanjang lebuh raya itu, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, hubungan melalui jalan raya yang sangat penting itu akan menarik lebih banyak pelabur mengambil bahagian dalam pelbagai projek pembangunan serta membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di negeri ini.

"Kami menjangka aktiviti ekonomi akan menjadi lebih rancak dan ini akan dibantu sepenuhnya oleh projek infrastruktur dan utiliti seperti bekalan tenaga elektrik dan perluasan bekalan air," katanya ketika merasmikan Jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2017 di sini semalam.

Bagi meningkatkan lagi status pembangunan Sarawak, kata beliau, kerajaan negeri akan memberi tumpuan terhadap beberapa rancangan penting, termasuk pelaksanaan dan pentauliahan lebih banyak loji tenaga, empangan, pembesaran pelabuhan, pembinaan sebuah landasan Transit Aliran Ringan (LRT) dan projek di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).

"Score ada potensi untuk diperluaskan ke bahagian lain di Sarawak, terutama di pusat bandar utama," katanya sambil menjelaskan bahawa banyak pelabur asing telah memindahkan loji pembuatan mereka ke Sarawak.

Mengenai jerayawara itu, Abang Johari berkata terdapat empat sektor utama yang amat memerlukan khidmat pasukan kejuruteraan - penambahbaikan terhadap ketersambungan dengan membina lebih banyak jalan raya dan jambatan; meluaskan bekalan air, terutama kepada penduduk luar bandar; pembangunan kawasan industri; dan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.

Katanya, Sarawak juga perlu mengoptimumkan tenaga dan sumber aslinya bagi pembangunan ekonomi dan perindustrian dan beliau mengambil Empangan Bakun sebagai contoh ketara mengenai projek berdaya maju dari segi komersial.

"Ketika ini, kami komited untuk melabur RM1 bilion sebagai permulaan bagi memastikan infrastruktur ICT kami cukup bersedia untuk menyokong industri digital, komersial dan pelaburan baharu, yang kami jangka dapat menarik lebih banyak pihak untuk datang ke Sarawak," katanya. - BERNAMA