Saya Kehilangan Seorang Kawan - TPM


PETRA JAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pemergian Datuk Daud Abdul Rahman sebagai kehilangan besar dalam pengurusan agama Islam khususnya di Sarawak.

Beliau berkata, bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak itu seorang yang prihatin dengan hal ehwal Islam dan anak yatim sepanjang kariernya dalam politik.

Ahmad Zahid berkata, Allahyarham cukup mementingkan pendidikan Islam ketika menjawat jawatan dalam pentadbiran Sarawak.

"Kami rapat ketika saya ditugaskan menjaga hal ehwal Islam sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan beliau (Allahyarham Daud) pula memegang portfolio sama mewakili Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Daud di kediamannya di Larut Skim Jalan Matang Jaya, Matang, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid meluangkan masa 30 minit menziarahi jenazah dan bertemu balu dan anak Allahyarham.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. Allahyarham Daud, 66, meninggal dunia kerana sakit jantung di sebuah hospital swasta di Kuching jam 4.30 petang ini.

Jenazahnya akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita, Petra Jaya, pagi esok.

Sementara itu, Abang Johari berkata, pemergian Allahyarham Daud satu kehilangan besar kepada Sarawak.

Beliau berkata, banyak sumbangan yang diberikan sepanjang Allahyarham memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong dan Menteri Muda dalam pentadbiran Sarawak.

"Kami rapat sejak sekolah dan pemergiannya begitu dirasai kerana saya dan Allahyarham bergiat aktif dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) satu masa dulu.

"Pemergiannya begitu dirasai rakyat negeri ini dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya," katanya. - Bernama