LABUAN - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mahu setiap ahli sayap itu meningkatkan persediaan mereka dalam menghadapi PRU14 bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negara ini.
Beliau mahu sayap itu terus bekerja keras untuk berdepan dengan mana-mana calon lawan termasuk bekas pemimpin UMNO.
“Kemunculan bekas pemimpin UMNO (sebagai pembangkang) bukan perkara baharu kerana BN pernah berdepan dengan mereka seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah… kami bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Labuan, di sini semalam.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata yang penting ialah meraih keyakinan rakyat dan seterusnya mendapatkan mandat mereka.
“Bagi saya, setiap pilihan raya ada cabaran tersendiri, justeru kita tidak boleh kata pilihan raya kali ini lebih mencabar berbanding sebelumnya.
Apa juga cabaran, kita mesti bersedia,” katanya menambah kerajaan pimpinan BN telah membuktikan keupayaan mentadbir negara dan ia akan terus memimpin negara ini.
– Bernama