IPOH – Seorang bekas ketua kampung dan keluarganya hidup dalam ketakutan sejak menerima ugutan ah long yang dipercayai tersalah sasaran.
Yong Ah Thim, 61, berkata, keluarganya bingung apabila dikatakan berhutang dengan ah long berkenaan sedangkan mereka tidak pernah membuat sebarang pinjaman daripada pemberi pinjam wang haram itu.
Menurutnya, dia mula diugut pada April lalu selepas ah long terbabit menghubunginya dan mendakwa anak lelakinya, Yong Khai Liang telah meminjam wang daripada mereka.
“Mereka mengugut saya agar membayar wang sebanyak RM17,000 dan jika tidak melunaskan pinjaman itu mereka akan melakukan perkara yang tidak baik kepada kami.
“Saya ada bertanya kepada anak lelaki saya mengenai dakwaan ah long tersebut dan dia menafikan pernah terlibat dengan pinjaman seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di Wisma MCA di sini hari ini.
Ujar Ah Thim, sejak menerima panggilan telefon itu, mereka sekeluarga tidak lagi diganggu ah long sehinggalah pada Khamis lalu apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta Honda Civic.
Dakwanya, dua lelaki terbabit telah memberhentikan kenderaan di hadapan rumahnya di Jelapang sebelum membaling sebungkus plastik mengandungi cat merah dan empat keping kertas.
“Apabila diperiksa, terdapat beberapa tompok cat merah di kereta dan halaman rumah. Kertas putih yang dibaling itu pula tertera gambar seorang lelaki, kereta, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
“Berdasarkan apa yang tertera di kertas itu, jelas ia bukanlah gambar anak saya malah nombor kad pengenalan juga salah,” katanya.
Tambah Ah Thim, kerana bimbangkan keselamatan diri, dia telah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Jelapang pada Jumaat lalu.
“Saya yakin ah long ini tersilap sasaran namun hairan apabila mereka mengetahui alamat dan nombor telefon rumah. Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera,” katanya.
Sumber: Utusan Online