Selawat Berkumandang Dalam Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia


KARNIVAL Ekspresi Felda Negaraku Malaysia berkumandang dengan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Lebih 1,000 warga FELDA hadir pada program FELDA Berselawat di Dataran Putrajaya malam tadi sempena sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017.

Program yang diadakan selepas solat isyak itu dimulakan dengan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, dipimpin oleh kumpulan Qasidah Darul Quran disusuli persembahan nasyid oleh kumpulan In-Team.

Selain FELDA berselawat, Forum Perdana Ehwal Islam turut diadakan dengan topik Bakti Disemai, Bukti Dituai, yang menampilkan tokoh ilmuan agama iaitu Pegawai Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 dengan tema Ekspresi FELDA Negaraku Malaysia, diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga lusa.

Pelbagai acara menarik disusun sepanjang program itu termasuk Diskusi TN50, Perhimpunan Bersama Perdana Menteri, futsal dan acara pentas selain karnival jualan.

Sumber: PRU14