Selepas Kedah, Perak Pula Diwarnai Bunga Tekoma


PARIT BUNTAR - Warna merah jambu dan putih bunga tekoma atau sakura kini mewarnai landskap Pekan Parit Buntar.

Ia yang tumbuh mekar di sepanjang jalan utama adalah hasil daripada kempen pengindahan Daerah Kerian menerusi penanaman bunga sakura oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) sejak 1995.

Tinjauan Bernama mendapati bunganya turut berguguran menutupi permukaan  bumi bagaikan hamparan permaidani. Sesetengah orang tidak melepas peluang untuk memuat naik gambaran fenomena tersebut di Facebook.

 Seorang penduduk Taman Pekan Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lian, 39, Taman Pinggiran Sungai Kerian amat sesuai dijadikan Taman Sakura Malaysia bagi menarik kunjungan pelancong.

"Alangkah cantiknya jika satu kawasan taman atau tanah lapang dipenuhi dengan landskap  pokok ini. Saya dapat bayangkan apabila musim bunga, pelbagai warna akan menghiasi kawasan sekitar dan tidak mustahil ia akan jadi tarikan pelancong ke Parit Buntar dan Daerah Kerian," katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap MDK, Norhafisah Mohamad berkata pihaknya menumpukan usaha menanam pokok sakura di sepanjang jalan utama dengan setiap tahun terdapat penambahan bilangan anak pokok. "Hasilnya setiap tahun, penduduk dan pengunjung dapat menikmati suasana indah seakan-akan mereka berada di negara Jepun memandangkan bunga tekoma hanya akan tumbuh pada waktu cuaca yang sangat terik.

"Cuma MDK tidak bercadang menanamnya di kawasan perumahan kerana bimbang bunganya akan berguguran dan mengundang kekotoran di sekitar di kediaman pemilik," katanya.

Menurut Norhafisah, setakat ini pihaknya  tidak bercadang untuk mewujudkan sebuah taman khas bagi menanam pokok bunga sakura, namun cadangan penduduk supaya Taman Pinggiran Sungai Kerian dijadikan lokasi penanaman sakura akan dipertimbangkan. - BERNAMA