ALOR SETAR - Selepas menamakan Datuk Husam Musa dari Patri Amanah Negara (PAN) sebagai Menteri Besar Kelantan, kini siapa pula pilihan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Kedah jika Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum akan datang ?
Cadangan Kit Siang itu sedang dinanti-nantikan oleh rakyat negeri Kedah khususnya para penyokong PAN, PAS dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz.
Selain Negeri Kelantan, PAS dan PAN juga menyasarkan Kedah pada pilihan raya umum akan datang walaupun UMNO/BN diyakini masih mampu mempertahankannya.
Setakat ini PAS dan PAN belum lagi membayangkan nama Menteri Besar masing-masing andai kata Pakatan Harapan atau PAS mampu tumbangkan BN, walaupun UMNO kelihatan masih ampuh di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
PAN mungkin juga sedang menunggu 'ilham' daripada Kit Siang untuk menamakannya.
Kebiasaannya, parti-parti yang baharu ditubuhkan lebih ghairah untuk menang dan menamakan lebih awal Menteri Besar berbanding parti-parti yang menguasa lebih banyak kerusi seperti BN, PAS dan juga PKR.
Bagaimanapun ramai yang ' terloncat' apabila watak utama dalam DAP menamakan Menteri Besar di sebuah negeri yang tidak mempunyai ramai ahli DAP, khususnya di Kelantan.
DAP, khususnya Kit Siang sepatutnya melantik Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan kedudukan anaknya, Lim Guan Eng yang terpalit dengan tuduhan rasuah daripada menamakan atau menyokong cadangan Menteri Besar daripada PH di negeri lain.
Perlu diingat juga, selepas banjir besar di Kelantan lebih dua tahun lalu, DAP bersedia untuk menyumbangkan masjid di sebuah kawasan yang dilanda musibah 'bah kuning' itu.
Kini DAP pula antara yang awal menyokong cadangan Menteri Besar di negeri Serambi Mekah itu.
Sokongan Kit Siang itu tentunya tidaklah pelik kerana PAN telah direstui oleh DAP bagi menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang.
PAN adalah harapan utama DAP untuk memecahkan undi Melayu/Islam di kawasan yang tiada pengaruh DAP dan kawasan tidak punyai ramai pengundi bukan Melayu.
Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, kenyataan yang dibuat oleh Kit Siang itu baru-baru ini menunjukkan betapa ganjilnya peranan DAP di dalam Pakatan Harapan meskipun DAP sendiri tidak ‘wujud’ di Kelantan
Pengumuman oleh Penasihat DAP untuk meletakkan Husam sebagai Menteri Besar Pakatan Harapan di Kelantan menunjukkan betapa berkuasanya DAP dan pemimpinnya di dalam pakatan pembangkang, kata Timbalab Menteri Besar Kelantan itu.
PAS bagainapun perlu sedar, DAP adalah tulang belakang Pakatan Harapan dan sebarang saranan DAP wajar dihormati dan dipatuhi.
Bagi rakyat Kelantan atau Kedah mereka boleh mula berfikir daripada sekarang sama ada mahu memilih Menteri Besar yang disokong oleh Kit Siang atau sebaliknya. - Kedahnews.com