KUALA LUMPUR - Penyanyi kelahiran Malaysia yang kini menetap di Los Angeles, Yuna, puji sikap rendah diri lagenda muzik Quincy Jones.
Di Instagramnya sebelum ini, Yuna pernah berkongsi temuramah beliau bersama Quincy Jones sempena pelancaran fonkepala JBL Audio E55BT Quincy Edition.
Dalam catatan terbarunya, Yuna mengongsikan kisah disebalik tabir temuramah itu.
Kata penyanyi lagu ‘Crush’ itu, antara nasihat Jones adalah supaya pemuzik sentiasa rendah diri.
“Tanggungjawab kita sebagai pemuzik dan penulis lagu adalah untuk sentiasa rendah diri.
“Bakat ini adalah dari tuhan. Ia bukan milik kita jadi gunakan ia dengan bijak dan sentiasa bersifat rendah diri,” kata Yuna dalam laman Instagramnya.
Yuna turut berkata sepanjang penggambaran yang berlangsung sepanjang hari, Jones tidak pernah menunjukkan penat lelahnya.
“Saya merupakan orang kedua terakhir untuk menemuramah beliau dan cuaca sudah gelap di luar.
“Sangkaan saya, beliau telah lakukan ini (temuramah) sepanjang hari dan dengan secara umumnya, beliau pasti penat.
"Tetapi beliau layan semua orang dengan begitu istimewa dan bertanyakan khabar mereka. Apabila beliau diberikan sorbet oren, beliau terus berkata ‘Saya sudah bersedia!’” sambung Yuna.
Pengalaman beliau bersama Jones turut menjadi peringatan untuk sentiasa melayan kru produksi dengan baik.
“Tidak kisah penat lelah anda… bagaimana anda melayan pihak kru, ia mencerminkan sikap anda.
“Saya telah lihat semuanya. Ada yang menjeling ke pihak pengarah, ada yang marah jurukamera, ada yang tidak cakap ‘Maaf’ atau ‘Terima kasih’. Ada yang di dalam industri ini selama 30 tahun, ada yang tidak sampai setahun,” tambahnya.
Pada 5 Julai, Yuna memuat naik temuramah beliau bersama Jones yang antara lain berbincang tentang muzik dan juga nama-nama besar ketika ini yang memberi harapan kepada industri muzik pada masa hadapan.
Sumber: Astro Awani