Separuh Beras 40 Tan Jatuh Ke Jalan Raya Di Sitiawan


JALAN Tali Air 3, Tanjung Karang menjadi tumpuan orang ramai, malam tadi selepas 27 tan daripada 40 tan beras yang dibawa treler terjatuh di jalan raya.

Ketika kejadian kira-kira 10 malam itu, treler terbabit dalam perjalanan dari Sitiawan, Perak ke Senai, Johor.

Penduduk, Zakaria Karjas, 60, berkata, orang ramai termasuk warga asing mengerumuni lokasi kejadian mengutip beras yang bertaburan di jalan raya.

Menurutnya, keadaan itu berlarutan sehingga 3 pagi dan menyebabkan kesesakan berlaku.

"Ketika kejadian saya baru sampai di rumah selepas keluar makan malam dan rumah saya kira-kira 100 meter dari lokasi.

"Dianggarkan 50 orang mengutip beras yang bertaburan di jalan raya dengan separuh daripadanya adalah warga asing.

"Ada yang membawa guni malah ada juga dengan menggunakan tangan memasukkan beras itu ke dalam bonet kereta," katanya yang turut sama mengutip beras itu.

Dia mendakwa, pemandu treler itu membenarkan orang ramai mengambil beras yang terjatuh itu kecuali di dalam treler.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.55 malam sebelum lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang ke lokasi.

Menurutnya, treler terbabit tidak mengalami sebarang kemalangan sebaliknya beras yang dibawa kira-kira 27 tan daripada 40 tan terjatuh di jalan raya.

"Kami menggunakan pancutan air untuk membersihkan beras di jalan raya," katanya.

Sumber: MyMetro