Siasatan FIC: Pengarah Syarikat Direman


PUTRAJAYA - Seorang pengarah syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 4 Ogos ini dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di di sini.

Suspek yang berusia 57 tahun adalah pengarah kepada syarikat yang memiliki hotel berkenaan.

Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati pengarah syarikat itu melantik sebuah syarikat yang bertindak sebagai ejen menguruskan pembelian hotel empat bintang itu.

Suspek ditahan SPRM jam 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM Kuching.

Terdahulu suspek tiba di Mahkamah Majistret pada jam 10.40 pagi diiringi pegawai SPRM dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Semalam, SPRM turut menahan reman dua lagi individu, masing-masing berusia 47 dan 51 tahun, iaitu pengarah syarikat yang dilantik sebagai ejen urus niaga pembelian hotel itu.

Sumber: BH Online