TIGA penuntut institut pengajian tinggi (IPT) ditahan polis selepas serbuan di sebuah rumah di Bandar Behrang 2020, Behrang, menemui 14 bungkus plastik dan tiga botol cecair dipercayai air ketum.
Serbuan 8.45 malam tadi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Mualliam bersama anggota dari Balai Polis Behrang Stesen.
Difahamkan, ketiga-tiga penuntut semester tiga IPT berusia antara 18 hingga 19 tahun itu ditahan ketika berada di dapur rumah sewa bersama cecair dipercayai air ketum.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, polis memasuki rumah berkenaan yang tidak berkunci.
"Pemeriksaan menemui 14 bungkus plastik dan tiga botol air berisi padu 1.5 liter disyaki air ketum dalam bekas polisterin di bawah sinki dapur.
"Polis merampas semua cecair disyaki air ketum itu dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal mendapati dua pelajar berasal dari Perlis dan seorang dari Perak itu memperoleh bekalan air ketum berkenaan dari Manjung.
Katanya, ujian air kencing dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif.
Sumber: MyMetro