Sindiket Edar Dadah Di Kawasan Felda Tewas


KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif membekalkan heroin, syabu dan pil kuda di kawasan penempatan Felda di negeri ini kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, enam lelaki dan dua perempuan berusia 27 hingga 38 tahun berjaya ditahan menerusi empat serbuan berasingan di Lanchang, Temerloh, Pekan dan Jengka.

"Serbuan termasuk di kawasan Felda dilakukan di Lanchang, Temerloh, Pekan dan Jengka antara pukul 5.15 hingga 6 petang, Isnin lalu. Empat lelaki daripada kumpulan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Melalui serbuan itu, polis merampas 1.4 kilogram dadah dipercayai heroin, 19 gram syabu dan 1,000 biji pil kuda dianggar bernilai RM90,000," ujar beliau ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pagi tadi.

Semua suspek termasuk kedua-dua wanita berusia 31 dan 32 tahun terbabit kini ditahan reman sehingga 31 Julai untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 

Sumber: Kosmo Online