Singapura Kutuk Korea Utara


SINGAPURA - Singapura mengutuk Korea Utara yang dilapor menguji peluru berpandu balistik antara benua dua hari lalu, kata Kementerian Luar Singapura.

“Pelancaran itu serta beberapa pelancaran sebelum ini termasuk yang terakhir kira-kira empat bulan lalu pada 4 Julai telah menimbulkan ketegangan dan seterusnya mengganggu keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan Sabtu malam.

Ia berkata tindakan provokatif itu secara serius melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu dan tidak menghiraukan keprihatinan komuniti antarabangsa.

“Ini hanya akan menjejaskan kesejahteraan rakyat Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK),” katanya.

Singapura sehubungan itu mengulangi gesaan kepada DPRK untuk menghentikan segala provokasi dengan segera dan mematuhi tanggungjawab dan komitmen antarabangsanya.-Bernama