SJKC Pulai Harumkan Nama Negara Pada Anugerah ESD SEAMEO-Jepun Di Indonesia


JAKARTA - Penyertaan sulung dalam pertandingan anjuran Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) nyata membawa tuah kepada sebuah sekolah dari Malaysia yang terletak di Pulai, Johor ini.

Siapa sangka penyertaan secara ‘suka-suka’ di peringkat antarabangsa itu membolehkan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pulai dipilih sebagai pemenang tempat kedua bagi Anugerah Peranti Jimat Tenaga (ESD) SEAMEO-Jepun 2016 yang lalu.

Perkara itu dinyatakan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Ishak Mahbob ketika ditemui pada majlis tersebut yang diadakan sempena Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) kali ke-49 di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis penganugerahan itu ialah pengetua sekolah berkenaan, Lee Boh Dan.

Ishak yang mewakili seluruh warga sekolah berkenaan berterima kasih kepoada semua pihak yang menyokong usaha yang dilakukan mereka selama ini.

“Bukan sahaja para guru dan murid-murid yang bertungkus-lumus untuk menjayakan projek ini, para ibu bapa juga turut memberi sumbangan yang bermakna bagi tujuan yang sama,” ujar Ishak.

Kejayaan projek sains bertajuk ‘Penjimatan Tenaga menerusi Pelestarian dan Program Budaya Karbon Rendah di Sekolah’ itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai AS$1,000 (RM4,282) beserta plak dan sijil penghargaan.

Hadiah utama bagi Anugerah ESD SEAMEO-Jepun 2016 itu bagaimanapun menjadi milik Indonesia menerusi SMK Negeri 1 Bandung manakala wakil Filipina pula iaitu Bintawan National High School pula merangkul tempat ketiga.

Dalam pada itu, Boh Dan memberitahu, sudah lebih 10 tahun pihaknya memperkenalkan projek penjimatan tenaga ini di sekolah tersebut dengan penglibatan hampir semua murid di situ.

“Pertandingan ini secara kebetulan sahaja kerana apa yang kami usahakan selama ini adalah berterusan dan bukan untuk tujuan pertandingan semata-mata,” katanya. 

Sumber: UTUSAN ONLINE