SPRM Nafi Kes JANS Tiada Kaitan Rasuah


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya ia mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

SPRM berkata, dakwaan itu dikesan disebar di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak semalam.

"Tiga individu termasuk bekas Pengarah JANS dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram pada 29 Disember tahun lalu manakala sebutan kes ditetapkan pada 8 Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPRM berkata, tiga yang dituduh ialah Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54; isterinya Fauziah Ag Piut, 51; dan Lim Lam Beng, 62.

Katanya, Ag Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Fauziah dan Lam Beng masing-masing didakwa dengan 19 pertuduhan bernilai RM 2.2 juta dan empat pertuduhan bernilai RM2.38 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.

SPRM berkata, kesalahan mengikut AMLATFPUAA 2001membabitkan hasil wang haram yang diperoleh daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah.

Agensi itu mengingatkan semua pihak supaya tidak memutar-belitkan isu kes JANS.

"SPRM akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di laman media sosial untuk memastikan tiada pihak cuba mencemarkan reputasi SPRM.

"Pengurusan Tertinggi SPRM menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil," katanya.

Sumber: BH Online