CORAK permainan Amerika Latin yang dibawa pengarah teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales gagal membantu The Red Warriors (TRW) apabila tewas 0-2 kepada Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Gonzales yang mengambil alih tugas Zahasmi Ismail untuk mengemudi TRW dilihat seolah-olah kering idea apabila percaturan 4-1-4-1 gagal memerangkap lawan apabila Sarawak dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan.
Bagaimanapun, Gonzales tetap mempertahankan percaturan yang diterapkan dalam perlawanan tersebut walaupun dikritik hebat oleh penyokong setia pasukan itu.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyalahkan pemain pada perlawanan tersebut dan menyifatkan mereka telah memberikan aksi terbaik.
“Bagi saya pemain sudah faham apa yang telah diajarkan kepada mereka, namun ia dijejaskan dengan kekurangan persiapan menyebabkan pasukan Kelantan tidak bermaya,” katanya.
Pada perlawanan itu, Sarawak nyata lebih bernafsu untuk menang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-22 menerusi tandukan Demerson Bruno Costa yang bijak menyambar sepakan percuma Tommy Mawat Bada.
Selang 14 minit kemudian, Mateo Roskam memastikan tiga mata menjadi milik Bujang Senang apabila sepakannya gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat yang keluar dari posisinya.
Gonzales memberitahu, ketiadaan padang latihan sepanjang Ramadan lalu menjadi punca utama pasukannya tumpas pada perlawanan tersebut.
Katanya, masalah tersebut menyebabkan dia sukar untuk menyediakan ramuan mantap bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh 37 hari melatih TRW dia turut berdepan dengan pelbagai cabaran dalam membentuk pasukan.
“Sepanjang tempoh itu TRW hanya mampu menjalani dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk berdepan Sarawak dan ia merupakan sesuatu yang malang buat pasukan.
“Keputusan yang dicatatkan oleh Kelantan amat mengejutkan dan kita akan cuba bangkit dalam perlawanan selepas ini,” katanya.
Sumber: Kosmo