Sukan SEA : Jelajah Angkasa Naik Wau Gergasi Di Kelantan


KOTA BHARU - Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena temasya Sukan SEA ke-29 di negeri ini akan mencatat kelainan apabila obor dinaikkan ke udara menggunakan wau gergasi.

Upacara itu akan berlangsung pada majlis perasmian jelajah di Pantai Irama, Bachok yang dijangka dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Sabtu ini.

Obor bersama wau bulan bersaiz kira-kira 30 meter akan dinaikkan bersama 29 wau jenis lain oleh penaik wau profesional.

Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis pelancaran itu nanti.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Nadzri Yaacob berkata, sebelum itu, obor diarak sejauh 300 kilometer melalui enam daerah iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Katanya, obor dijangka tiba di Jeli dari Perak Khamis ini dan upacara perasmian dua hari kemudiannya.

“Wau kecil berjumlah 29 buah itu yang mengiringi wau gergasi adalah lambang sukan terbesar di Asia Tenggara itu sudah dianjurkan sebanyak 29 kali.

“Kami memilih bekas pemain bola sepak Kelantan dan negara, Yassin Mohd Noor untuk mengetuai larian obor.

“Sempena perasmian nanti, pelbagai acara turut diatur antaranya program kecergasan FitMalaysia yang terbuka kepada orang ramai tanpa mengira usia dan jantina.

“Dua acara iaitu larian sejauh 5 dan 10km, selain berbasikal, 10 dan 30km. Bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkan borang secara percuma di pejabat jabatan negeri atau pejabat daerah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran Obor Sukan SEA ke-29 dan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2017 di KB Mall, di sini kelmarin.

Selain Khairy, kenamaan lain dijangka hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Larian obor dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut giat mempromosikan program Fit Malaysia dalam usaha membudayakan masyarakat negeri ini supaya aktif bersukan.

“Satu rakyat, satu sukan mampu melahirkan masyarakat Kelantan yang dapat mengamalkan gaya hidup sihat serta bebas daripada penyakit,” katanya.

Sumber: MyMetro