PETALING JAYA - Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menarik nafas lega kerana anak buahnya terlepas diundi dalam kumpulan maut bagi kejohanan Sukan SEA, Ogos ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.
Bagaimanapun, Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan terutamanya Myanmar dan Singapura yang bakal memberikan tentangan sengit pada saingan itu.
"Walaupun boleh dikatakan kita diundi dalam kumpulan yang lebih baik berbanding Kumpulan B, Myanmar dan Singapura akan menjadi pencabar utama manakala Laos dan Brunei pula tidak boleh dipandang rendah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beliau berkata fokus utamanya adalah memastikan pasukan berada pada keadaan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Boleh nampak yang pasukan pilihan dari Kumpulan B pula pastinya Thailand, Indonesia dan Vietnam tetapi kejutan boleh berlaku dan kita sendiri juga tak tahu apa yang akan berlaku dalam Kumpulan A.
"Jadi apa yang penting, kita hanya perlu fokus terhadap saingan Kumpulan A dan juga perlawanan yang bakal kita hadapi, berbanding memikirkan hal-hal lain," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai aksi perlawanan persahabatan menentang B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam, Khamis depan, Kim Swee berkata saingan itu tetap akan diteruskan.
"Kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk meneruskannya meskipun jika diundi dalam satu kumpulan untuk Sukan SEA 2017.
"Ini kerana perlawanan ini penting untuk kedua-dua pasukan bersiap menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Julai ini. Sudah tentu ia satu perlawanan yang baik untuk kita," katanya.
Sumber : Mstar Online