KUALA LUMPUR - Pingat gangsa menjadi sasaran skuad bola sepak wanita menjelang temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Datuk Suraya Yaacob berkata, sasaran yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) amat realistik berdasarkan negara-negara yang bertanding.
"Berdasarkan prestasi semasa, kami amat berharapkan skuad wanita mampu meraih pingat sekurang-kurangnya pingat gangsa di Kuala Lumpur nanti.
"Sebanyak lima negara termasuk Malaysia yang akan bermain secara round robin, dan pastinya peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya.
"Skuad juga telah membuat persiapan sejak tahun lalu dan apa yang saya dapat lihat prestasi pemain semakin positif," ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan skuad wanita di Pusat Latihan Jeonsa pada Jumaat.
Menurut Suraya, bagi persiapan lebih rapi, beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa akan turut diadakan.
"Sebelum ini mereka turut beraksi dengan beberapa perlawanan persahabatan dengan skuad remaja lelaki di Sabah.
"Malah turut bermain dengan pasukan wanita Nepal. Dan keputusan amat memberangsangkan.
"Pada 29 Julai ini skuad wanita akan berdepan dengan juara Asia Selatan, India. Ianya dianggap peluang terbaik untuk pemain-pemain meningkatkan prestasi masing-masing," jelasnya.
Antara empat negara yang menjadi saingan skuad negara adalah Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.
Kali terakhir skuad wanita negara meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 1995 di Chiangmai, Thailand dengan meraih gangsa.
Sumber: Mstar Online