GEORGETOWN - Tahanan yang meloloskan diri awal pagi Ahad lalu berkemungkinan sudah melarikan dari negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, polis masih giat menjalankan operasi menjejaknya sejak 48 jam lalu selepas berjaya melarikan diri kira-kira jam 2.30 pagi, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Ghee Lye berkata, pihaknya berharap agar suspek yang dikenali sebagai Anuar Ayat berusia 43 tahun itu masih berada di negara ini.
"Suspek masih belum dapat dikesan setakat ini. Namun kita bekerjasama dengan kontinjen-kontinjen lain untuk mengesan suspek. Pencarian akan tertumpu pada tempat yang selalu suspek pergi dan juga di kawasan dia menjalankan kegiatan mengedar dadah terutamanya di Kedah.
"Kita juga memperketatkan kawalan di pintu masuk dan keluar negara jiran (Thailand dan Indonesia). Jika suspek guna laluan sah, senang kita nak kesan tetapi jika guna laluan haram, itu yang susah sikit," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Umno Pulau Pinang hari ini.
Beliau menambah, sehingga kini, belum ada petunjuk suspek berada di pangkuan keluarganya.
Sumber: Sinar Harian