Suspek Pandu Kereta Curi Lari Tinggal Kekasih


PERMATANG PAUH - Gara-gara takut dicekup polis kerana membawa kereta curi, seorang lelaki sanggup meninggalkan kekasihnya di dalam kereta bersendirian dalam satu kejadian di Kubang Semang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika polis menjalankan rondaan di sekitar kawasan Kubang Semang dan Seberang Jaya.

"Dalam rondaan berkenaan, mereka ternampak sebuah kereta jenis Honda Jazz berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

"Polis bertindak pantas cuba menahan kenderaan tersebut namun suspek memecut kereta untuk melarikan diri," katanya.

Walau bagaimanapun, kereta suspek berjaya ditahan berhadapan Hospital Seberang Jaya.

“Wanita yang merupakan penumpang kereta berusia lingkungan 24 tahun itu berjaya diberkas manakala teman lelakinya bertindak melarikan diri," katanya.

Tambahnya, hasil semakan lanjut ke atas nombor kereta dan casis enjin kereta berkenaan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor.

“Polis IPD Seberang Perai Tengah kemudiannya menyerahkan barang kes dan suspek kepada IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjutnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian