PONTIAN - Kisah seorang penduduk tempatan yang mati akibat memakan ikan buntal kira-kira 10 tahun lalu masih diingati kebanyakan peniaga ikan di daerah ini.
Hasil tinjauan dilakukan di Pasar Ikan Tepi Sungai Pontian Kechill mendapati ikan buntal tidak dijual di pasar berkenaan.
Rata-rata peniaga memberitahu mereka tidak berani menjual ikan itu kerana membahayakan pelanggan.
Peniaga, Aslamiah Selamat, 54, berkongsi cerita tentang ikan buntal yang dahulunya pernah dijual dan dapat permintaan tinggi.
Katanya, dia tidak lagi menjual ikan buntal selepas kisah seorang penduduk tempatan mati dipercayai akibat makan ikan itu.
“Tidak silap, ada larangan dikeluarkan untuk peniaga supaya tidak menjual ikan buntal,” katanya.
Ditanya mengenai rasa isi ikan buntal, Aslamiah yang mempunyai kemahiran membuang toksik ikan buntal menyamakannya dengan rasa daging ayam.
“Isinya pejal seperti daging ayam. Sangat sesuai jika digoreng kerana tidak mudah hancur,” katanya.
Jelasnya, terdapat banyak spesies ikan buntal namun hanya ikan buntal pisang sahaja yang boleh dimakan.
“Tetapi sebagai peniaga kami perlu lebih bertanggungjawab kerana ikan buntal berisiko membahayakan pembeli.
“Ini kerana ramai yang tak tahu cara betul buang toksik ikan buntal,” katanya.
Bagi peniaga ikan di Pekan Sanglang, Said Amil, 37, berkata, ikan buntal belum pernah lagi dijual kepada pelanggannya, lagipun spesies ikan bertoksik itu bukan pilihan penduduk di sini.
“Tak dinafikan ikan buntal mempunyai keenakan rasanya yang tersendiri meskipun ia beracun,” katanya.
Menurut ya, tidak mustahil ikan buntal akan menjadi pilihan pengguna suatu masa nanti kerana keenakan rasanya.
“Jika dahulu belangkas yang mempunyai racun tidak dimakan. Tetapi keadaan itu sudah berubah, belangkas jadi kegemaran penduduk terutama di Kota Tinggi.
“Ikan buntal juga boleh jadi seperti belangkas, jika semakin ramai yang tahu cara buang toksik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian