TAK mampu ke, sampai nak kahwin minta sponsor? Itulah antara bualan netizen ketika ini gara-gara pembantu peribadi kepada Anis Al-Idrus menghantar mesej kepada pengusaha kek untuk meminta tajaan majlis perkahwinannya.
Ia berlaku sehari sebelum Syawal tempoh hari selepas pengusaha kek berkenaan berkongsi cetakan mesej di laman sosial yang mengundang pelbagai kata-kata negatif netizen.
Anis berkata, perkara itu bukan kerana dia tidak mampu untuk membayar kek cawan sebanyak satu kotak yang berharga RM50 itu, sebaliknya mahu memberi peluang mempromosikan perniagaan tersebut.
"Saya ingin memberi penjelasan tentang berita yang tular di media sosial apabila pembantu saya meminta tajaan kek cawan.
"Sebenarnya, ia adalah perkara biasa dan tidak merugikan mana-mana pihak. Dalam hal ini pihak mereka juga mendapat keuntungan kerana saya juga tidak mengenakan sebarang caj untuk mempromosikan perniagaan mereka," ujarnya.
Pada 24 Jun lalu, seorang pengusaha kek cawan menyelar tindakan pembantu peribadi pelakon ini yang memohon tajaan sekotak kek cawan berharga RM50 yang disifatkannya sebagai tidak patut.
Individu tersebut berpendapat ia tidak mendatangkan hasil terhadap perniagaannya kerana tidak mengenali penyanyi berkenaan.
Dalam pada itu, Anis berkata, sebagai seorang selebriti yang turut menjalankan perniagaan dalam talian, dia memahami kesukaran peniaga-peniaga baharu dalam hal promosi produk mereka.
Katanya, dia sendiri masih lagi menjalankan cara tersebut sebagai salah satu promosi produk keluarannya.
"Saya sendiri menjalankan perniagaan dalam talian dan masih memberi tajaan kepada orang lain. Jadi untuk tiga majlis perkahwinan saya nanti, saya membuka peluang kepada siapa yang sudi untuk membuat promosi dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka.
"Tiga majlis itu bakal mendapat liputan secara langsung di media sosial saya dan program Mahligai Cinta yang mana akan memberi peluang mempromosi produk tajaan majlis tersebut," ujarnya.
Tambah Anis, dia tampil menjelaskan perkara ini untuk menjernihkan keadaan terutamanya apabila ia berkaitan hal perkahwinan yang melibatkan dua pihak keluarga.
"Saya sebenarnya malas untuk memanjangkan lagi hal ini dan saya bukan orang yang cepat melenting, tapi masih lagi ada yang bercakap.
"Penjelasan ini dapan menjernihkan keadaan kerana majlis ini melibatkan dua pihak keluarga," ujarnya.
Anis bakal berkahwin dengan pemuda pilihannya iaitu Aiman Rafzan pada Jumaat ini.
Majlis berkenaan akan berlangsung di De'Laman Event Space, Shah Alam.
Sumber : Mstar Online