PARIS - Sekumpulan pakar penyakit di Britain mencadangkan supaya amalan menghabiskan antibiotik dihentikan kerana ia adalah antara punca masalah peningkatan rintangan ubat.
Pasukan itu menerusi jurnal perubatan BMJ memaklumkan bahawa punca rintangan antibiotik adalah penggunaannya secara berlebihan berbanding menghentikan pengambilan terlalu awal.
"Kami menggalakkan penggubal dasar, pendidik dan doktor supaya berhenti menyuruh pesakit menghabiskan antibiotik.
"Sebaliknya mereka patut memaklumkan amalan menghabiskan antibiotik ini tidak berasaskan bukti dan sesuatu yang tidak betul," kata pasukan itu yang diketuai pakar penyakit berjangkit, Martin Llewelyn dari Fakulti Perubatan Brighton dan Sussex.
Pasukan itu berpendapat kajian lanjut perlu untuk mencari kaedah alternatif, namun pesakit sepatutnya menghentikan rawatan apabila mereka merasa sihat. - AFP