Takut Diberkas Imigresen, PATI Cabut Tinggal Anak


KUALA LUMPUR - Tergamak tinggalkan anak kecil semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada diberkas.

Kejadian itu disaksikan wartawan Harian Metro ketika mengikuti Ops Mega dijalankan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Segambut Dalam, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 2 pagi itu, lokasi perkampungan warga asing itu dikepung lebih awal dengan bantuan 101 anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Simpang Renggam dan Muar, Johor.

Seramai 43 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur bersama 11 kakitangan JIM Putrajaya serta tujuh anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kemudian menyerbu kawasan penempatan setinggan PATI itu.

Setiap rumah dibina di kaki bukit selain dikelilingi hutan memudahkan penghuninya majoriti bangsa Flores, Indonesia itu melarikan diri dalam sekelip mata.

Ada antara PATI wanita yang melarikan diri bertindak meninggalkan anak berusia tujuh tahun untuk bersembunyi di dalam hutan, malah ada yang memberikan anak kecil seawal dua tahun kepada rakan lain yang memiliki dokumen lengkap.

Dalam serbuan pertama itu, kira-kira 150 warga asing berjaya dikepung dan ditahan JIM.

Bagaimanapun anggota JIM dengan bantuan PGA tidak berputus asa dan melakukan pemeriksaan ‘pembersihan’ di kawasan hutan sebelum berjaya memberkas 140 lagi individu.

Dalam serbuan itu, ada wanita PATI ditemui baring telentang di dalam semak, di bawah lori tanah dan ada juga yang dikesan berlari di lorong denai menuju ke puncak bukit dalam usaha untuk meloloskan diri.

Namun, semua cubaan itu gagal dan mereka yang dicekup dibawa turun ke kawasan pemeriksaan berdekatan penempatan haram itu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan yang mengetuai operasi berkenaan berkata, hasil pemeriksaan ke atas 290 orang itu, seramai 101 warga asing termasuk 10 kanak - kanak berusia 45 hingga tiga bulan ditahan dalam serbuan itu.

“Operasi di kawasan ini agak berbahaya berikutan ada warga asing yang bertindak agresif dengan cuba mencederakan anggota JIM menggunakan kaca dan pisau. Namun, hasil perancangan rapi dan strategik lebih seminggu, kami dapat mengelak sebarang kecederaan kali ini.

“Penempatan ini yang sudah wujud sejak beberapa tahun lalu pernah diserbu beberapa kali, namun ia menjadi lokasi kegemaran warga asing yang tiada dokumen untuk berlindung akibat bentuk muka buminya yang senang untuk meloloskan diri,” katanya.

Menurutnya, PATI ditahan membabitkan 94 rakyat Indonesia berbangsa Flores dan Maruda, 16 Bangladesh, dua Sri Lanka dan seorang Myanmar.

Katanya, semua ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dan diambil tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama selain Peraturan -Peraturan Imigresen 1963.

Sumber: MyMetro