PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan menambah kira-kira 100 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana usaha itu membolehkan pegawainya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja mendisiplikan pemandu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata dengan adanya AES, JPJ dapat mengurangkan pegawainya untuk melakukan kerja di lapangan dari segi memerikasa had laju kenderaan.
“AES gantikan penguat kuasa JPJ di lapangan, dulu buat secara manual dan sekarang kita pakai AES. AES secara automatik memindahkan maklumat (kepada JPJ). Kita akan ambil tindakan ke atas pemandu yang lakukan kesalahan,” kata beliau kepada FMT.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata kira-kira 100 kamera AES akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, tahun depan.
Aziz berkata, AES yang akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan itu dapat membantu pemandu mematuhi peraturan memandangkan ia merupakan sistem penguatkuasaan selama 24 jam sehari.
“AES akan ditambah kerana kita (Malaysia) mempunyai matlamat untuk mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang tahun 2020 seperti yang dipersetujui di peringkat dunia,” katanya.
Bagaimanapun, Nadzri berkata pegawai JPJ juga perlu ada di lapangan tetapi menumpukan tugas lain seperti memeriksa lesen dan cukai jalan pemandu.
“Pegawai JPJ itu mesti ada, dari segi rondaan, kita nak periksa lesen pemandu, kita tahu berdasarkan kepada operasi. Lihat lesen memandu motosikal, walaupun tak laju, tetapi lesen dan cukai jalan kena lihat juga.
“Kita boleh tumpukan kawasan lain dan pada masa akan datang mungkin akan ada kamera yang boleh lihat kenderaan yang memotong di kawasan garisan berkembar atau dapat kesan pemandu yang menggunakan telefon ketika memandu,” katanya.
Sumber: FMT