Tambang Teksi KL Ke-8 Termurah Dunia!


LONDON – Tambang teksi di Kuala Lumpur dilaporkan mampu dinaiki kebanyakan penumpang, menurut satu tinjauan global terkini oleh portal jualan kereta terpakai Britain, Carspring.

Menurut Indeks Tambang Teksi 2017 itu, ia berdasarkan hasil tinjauan terhadap pengendali teksi tradisional di 80 bandar raya paling popular di dunia, termasuk Istanbul, Paris, London, New York, Hong Kong, Sydney dan Mumbai.

Keputusan oleh portal antarabangsa itu mendapati Kuala Lumpur adalah kelapan paling murah untuk menaiki teksi berbanding puluhan bandar raya terkenal lain termasuk jirannya, Singapura yang cuma menduduki tempat ke-20.

Menduduki tangga pertama bagi tambang teksi paling murah di dunia – berdasarkan kadar perjalanan sejauh tiga kilometer pertama – ialah ibu kota Mesir, Kaherah dengan harga ditetapkan hanya sebanyak AS$0.55 (RM2.40).

Sebaliknya, bandar raya Zurich di Switzerland pula adalah yang termahal dengan tambang AS$25.25 (RM108.22), manakala tambang standard bagi perjalanan jarak tiga kilometer di Kuala Lumpur pula ialah AS$1.89 (RM8.10).

Antara bandar utama di rantau Asia tenggara yang termasuk dalam kedudukan Carspring itu ialah Jakarta iaitu AS$1.47 (RM6.30), Bangkok AS$1.64 (RM7.00), Hanoi AS$1.36 (RM5.80) dan Singapura AS$4.01 (RM17.20).

Zurich dilaporkan juga mengenakan tambang permulaan paling mahal di dunia apabila mula menaiki teksi dengan AS$8.30 (RM35.57) manakala kadar paling murah ialah ibu kota Tunisia, Tunis hanya sebanyak AS$0.19 (RM0.80).

Kuala Lumpur pula ke-10 dalam kategori itu dengan AS$0.71 (RM3) tinggi berbanding Hanoi AS$0.45 (RM1.93) dan Jakarta AS$0.51 (RM2.20) tetapi murah daripada Bangkok AS$1.05 (RM4.50) dan Singapura AS$2.57 (RM11).

Dalam menentukan kadar tambang permulaan dan juga kos masa menunggu penumpang, sebagai contoh, kajian Carspring itu menggunakan data yang dibekalkan oleh laman rasmi pihak berkuasa di setiap bandar terbabit.

Ia juga mengambil kira faktor aplikasi khidmat kereta sewa persendirian yang menggunakan aplikasi atas talian seperti Grab dan Uber yang beroperasi di 65 buah bandar daripada 80 yang ditinjau itu, termasuk Kuala Lumpur.

Pakar pengangkutan berpendapat, meskipun tambang teksi masih rendah, syarikat teksi masih berdepan dengan masalah untuk bersaing dengan tambang yang ditawarkan pengendali kereta sewa popular seperti Grab dan Uber.

Operator kereta sewa yang menggunakan model perniagaan dan struktur kos berbeza, menawarkan tambang asas lebih murah berbanding teksi – tanpa ambil kira promosi dan ganjaran ditawarkan. – Agensi