Tarif, Rebat Elektrik Kekal Hingga Disember


PENGGUNA di Semenanjung, Sabah dan Labuan kekal menikmati kadar tarif dan rebat elektrik sedia ada bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

Ini berikutan keputusan kerajaan untuk tidak membuat semakan tarif atau rebat elektrik di ketiga-tiga kawasan sepanjang tempoh berkenaan seperti dipersetujui Jemaah Menteri pada 21 Jun lalu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk membelanjakan RM1.303 bilion bagi menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada pengguna di Semenanjung, manakala RM468 juta di Sabah dan Labuan.

"Sejajar dengan keputusan itu, kadar purata tarif elektrik asas di Semenanjung kekal pada kadar 38.53 sen perkilowatt jam (kWj), manakala 34.52 sen per kWj bagi Sabah dan Labuan.

"Kerajaan juga bersetuju memberi rebat keseluruhan kos pembekalan elektrik sebanyak 2.54 sen per kWj di Semenanjung dan 1.2 sen di Sabah serta Sarawak bagi tempoh Julai hingga Disember 2017," katanya pada sidang media di Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan pelarasan tarif elektrik di bawah dasar kos bahan api dan penjanaan tidak seimbang (ICPT) membolehkan pengguna di Semenanjung menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion untuk tempoh Mac 2015 hingga Disember tahun ini.

Katanya, bagi pengguna Sabah dan Labuan jumlah rebat diberikan kerajaan bagi tempoh yang sama ialah RM196.26 juta.

Sumber : MyMetro