Tewas di Iraq, Keganasan Daesh Belum Lagi Berakhir


SEJAK Daesh dikesan aktif di Malaysia mulai 2013, Bukit Aman berjaya menggagalkan 14 cubaan serangan bersenjata yang dirancang di seluruh negara.

Selain menggagalkan serangan di pelbagai lokasi strategik, Bukit Aman menahan 310 suspek yang mempunyai kaitan dengan Daesh.

Namun, semua angka kejayaan ini tidak dibangga-banggakan Ketua Bahagian Counter Terorism, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay.

Malah, dia lebih mengingatkan: “Kalau Daesh berjaya walaupun sekali, ia cukup untuk merosakkan keamanan kita!”

Semalam Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan, gerakan militan Daesh di Iraq berakhir dengan kejatuhan bandar Mosul sepenuhnya kepada tentera kerajaan.

Malah, Masjid Al Nuri tempat pengasas Daesh, Abu Bakar al-Baghdadi mengisytiharkan Mosul sebagai bandar Negara Khalifah turut dirampas semula.

Haider turut mengumumkan, Menara al-Hadba, tempat bendera pertama Daesh dikibarkan sejak 12 Jun turut ditawan.

Namun persoalan sekarang: Apakah kejatuhan bererti Daesh lumpuh di seluruh dunia?

Sedangkan sejak kebelakangan ini, sel Daesh mula agresif menyerang bandar-bandar di Eropah.

Apakah teori yang mengatakan, setelah Daesh tewas di Iraq dan Syria, pusat gerakan militan Negara Khalifah akan berpindah ke Timur Libya yang kini dikuasai pengganas pro-Daesh, akan menjadi kenyataan?

Di Asia Tenggara pula, seperti satu kebetulan: Ketika kemuncak pertempuran Daesh mempertahankan Mosul di Iraq, ia serentak dengan serangan pengganas Maute menduduki bandar Marawi di selatan Filipina.

Pertempuran di Marawi berlarutan memasuki minggu ke lapan dan berterusan sepanjang Ramadan, dan semalam Tentera Filipina mengumumkan kawasan itu kembali dikuasai Kerajaan.

Pertempuran di Marawi menyebabkan lebih 370 terbunuh. Tentera Filipina mengesahkan lebih 250 militan Maute pro-Daesh ditembak mati.

Manakala lebih 50 anggota komando Filipina terbunuh. Selebih membabitkan penduduk awam.

Berbalik pada amaran Ayob Khan, kejatuhan Daesh di Iraq dan kekalahan militan Maute di Filipina, sudah pasti bukan jaminan keganasan telah berakhir.

Ayoh Khan pernah mengingatkan:

“Daesh ada beribu-ribu cybertroopers… selalu membalas apa yang kita uar-uarkan. Kumpulan ini ada televisyen dalam talian yang beroperasi 24 jam. Mereka juga ada laman web dan Twitter yang telah disekat. Sejak pertengahan tahun 2015 sehingga sekarang, sejumlah 360,000 akaun telah disekat.”

Jadi di peringkat global, sel keganasan masih wujud. Sekali pun tanpa Mosul dan Maute, Daesh belum boleh diisytiharkan musnah!

Sekadar rekod, kita petik semula kenyataan Ayob Khan mengenai statistik Daesh membabitkan rakyat negara ini.

“Bagi statistik rakyat Malaysia di Syria pula adalah 27 orang lelaki, wanita (12), kanak-kanak lelaki sembilan orang, lapan kanak-kanak perempuan. Yang telah meninggal dunia 27 orang dan yang balik ke Malaysia lapan orang.

“Polis telah menahan 260 orang dari pelbagai negara kerana penglibatan dalam kumpulan militan bermula dengan empat orang pada 2013, 59 orang pada 2014, 82 (2015) dan 115 (2016).

“Bagi rakyat Malaysia yang ditahan kerana penglibatan dalam kumpulan Daesh, 14 adalah tentera dengan empat daripadanya adalah komando. Tiga anggota polis kita tangkap…juga ditangkap imam masjid, pensyarah universiti dan pegawai kerajaan yang ada gelaran Datuk.”

Justeru, khabar dari Iraq tidak bererti ancaman Daesh sudah berakhir. – Kedahnews.com