Tiada Istilah Kalah Dalam UMNO - Salleh Keruak.


IPOH - Tiada istilah kalah dalam UMNO, sebaliknya parti keramat orang Melayu itu sentiasa bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata untuk itu, anggota UMNO tidak sewajarnya mudah gentar, sebaliknya perlu mempunyai 'winning mentality' dalam memperjuangkan parti demi kelangsungannya serta Barisan Nasional (BN).

"Kita rasa kita menang kerana kita kerja bersungguh-sungguh dalam memberi peranan kepada rakyat. Pada PRU lalu ada rakyat telah dikelirukan dengan tohmahan dan janji kosong, jadi kita perlu jelaskan perkara sebenar supaya dia kembali bersama kita.

"Kadang kala kita perlu menyerang, kita tidak boleh mempertahankan diri kerana musuh tidak menunggu kita, malah akan mencari jalan untuk hapuskan kita, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyerang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Gopeng di sini semalam yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim.

Menurut Salleh, dalam perjuangan, pemimpin bukan menjadi ukuran utama kerana mereka datang dan pergi, tetapi matlamat perjuangan adalah yang menjadi keutamaan.

"Matlamat parti politik bukan hanya untuk memberi pembangunan kepada rakyat kerana memberi pembangunan sememangnya tanggungjawab kita (pemimpin) bukannya perjuangan.

"Sebaliknya, kita perlu menjiwai perjuangan (parti), kalau tidak jiwainya, kita hanya sekadar menjadi ahli biasa dan itu tidak akan mencapai matlamat kita,"katanya.

Dalam pada itu, berkata anggota UMNO perlu supaya berhati-hati kerana mereka kini perlu menempuhi cabaran di media sosial tidak seperti dahulu.

"Setiap hari macam-macam maklumat palsu yang disebarkan musuh bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan kepada pemimpin dan parti yang hanya akan memecahbelahkan kita, jadi kita perlu berhati-hati,"katanya.

- Bernama