'Tiada Nota Bunuh Diri'


LOS ANGELES - Penyanyi utama kumpulan Linkin Park, Chester Bennington, yang meninggal dunia semalam, tidak meninggalkan sebarang nota bunuh diri, kata pejabat koroner daerah Los Angeles.

Bennington, 41, ditemui mati di kediamannya di Palos Verdes di sini, seminggu sebelum kumpulan itu dijadualkan mengadakan konsert jelajah Amerika Syarikat.

"Dia ditemui tergantung di bilik tidurnya. Tiada nota ditemui," kata jurucakap koroner, Ed Winter.

Winter berkata, pihaknya menemui sebotol minuman keras di bilik tidur berkenaan tetapi tiada dadah ditemui.

Vokalis itu dilaporkan mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol, malah pernah secara terbuka bercakap mengenai perjuangannya menangani masalah tekanan yang dihadapi selepas Linkin Park meraih populariti pada 2000 menerusi album 'Hybrid Theory'.

Sementara itu, Winter berkata, proses bedah siasat akan ditangguhkan manakala ujian toksikologi akan dilakukan bagi menentukan punca kematian penyanyi itu.

Sumber : BH Online