Tiga Penagih Diperintah Jalani Pemulihan


JELI - Tiga daripada empat suspek yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah, semalam diperintah menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela selama dua tahun.

Pegawai Penyiasat AADK Daerah Jeli, Basri Manshor berkata, hukuman itu dikenakan mengikut Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah 1983 iaitu menjalani rawatan secara sukarela.

Menurutnya, dua daripada suspek itu dihantar ke Pusat Pemulihan, Jagaan dan Rawatan (CCRC) Jeli, manakala seorang lagi dihantar ke Klinik Cure & Care Karangan kerana masih di bawah umur.

Keempat- empat suspek (depan, kiri) yang berjaya ditahan Unit Khas AADK Tanah Merah dalam Operasi Cegah Penagih Dadah di sini,  kelmarin.

"Seorang lagi suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) akta yang sama kerana disyaki menagih dadah," katanya kepada media selepas operasi itu, kelmarin.

Basri berkata, kesemua empat suspek terlibat ditahan dalam Operasi Cegah Penagih Dadah yang dijalankan Unit Khas AADK Tanah Merah di beberapa kawasan sekitar daerah ini.

"Operasi bermula jam 8 pagi itu diadakan di beberapa lokasi termasuk Kampung Kelisar, Batu Gajah, Lawang dan Bukit Bunga," katanya.

Sumber: Sinar Harian