Titipan Perjalanan Media Malaysia Di Bumi Al-Aqsa


TANPA sebarang publisiti secara besar-besaran, sekumpulan sukarelawan Malaysia kelmarin berjaya memasuki Baitul Maqdis yang ketika ini tegang akibat kebiadaban tentera rejim Israel.

Lebih unik kumpulan program Misi Kemanusiaan dan Pertukaran Budaya Media Malaysia-Jordan itu disertai pelbagai kaum sekali gus membuktikan solidariti rakyat negara ini terhadap isu kemanusiaan di bumi Palestin.

Ikuti catatan perjalanan Datuk Akmar Hisham Mokhles, yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia menceritakan momen menarik sepanjang berada di Tanah Suci tiga penganut agama langit iaitu Islam-Kristian-Yahudi itu:


23 Julai (8.25 malam): Malam ini berlepas ke Amman, Jordan bagi mengetuai rombongan 27 peserta dari Malaysia untuk program Misi Kemanusiaan dan Pertukaran Budaya Media Malaysia-Jordan. Ia berlangsung dari 23 hingga 29 Julai 2017. Kami dijangka tiba di Amman subuh esok dan beberapa program telah diatur untuk kami. Nanti saya ceritakan tentang perjalanan program ini yang menyaksikan peserta negara kita diwakili pelbagai kaum. 😀

24 Julai (11.37 pagi): Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia, Amman, Jordan.


(4.00 petang): Di sempadan Jordan-Israel. Menunggu dengan sabar di atas bas sementara menunggu pasport di cop. Tadi Alhamdulillah, tiada sebarang masalah ketika tiba di lapangan terbang.

(11.19 malam): Alhamdulillah, kami telah selamat tiba di kota lama Jerusalem. Sekejap lagi akan cuba masuk ke Masjid Al Aqsa untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Ramai media membuat liputan mengenai keadaan di sekitar Masjid Al Aqsa. Media antarabangsa pun ramai.


Kawalan polis Israel pula agak ketat memandangkan beberapa insiden yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Seorang pemuda Palestin yang kami ajak bersembang sebentar tadi mengatakan bahawa rakyat Palestin ingin mengadakan demonstrasi sekali lagi malam ini untuk menzahirkan rasa tidak puashati mereka kepada pihak berkuasa Israel.

Apapun, kami berdoa hajat untuk menjejakkan kaki ke Masjid Al Aqsa malam ini akan dimakbulkan Allah selain melaksanakan tugas yang diamanahkan.


25 Julai (5.35 petang): Malam tadi selepas solat maghrib di Masjid Al Aqsa, berlaku pertempuran antara rakyat Palestin dan askar Israel di luar perkarangan masjid. Bila insiden ini berlaku, kami terpaksa berlindung di masjid sehingga keadaan reda dan terpaksa bergerak keluar menggunakan pintu lain untuk mengelak terperangkap dalam sebarang pertempuran.

Dari dalam masjid, kami boleh mendengar dengan jelas teriakan rakyat Palestin yang membuat bantahan, bunyi siren kereta polis Israel serta bunyi tembakan. Kami diberitahu oleh penduduk tempatan, pertempuran malam tadi berlarutan sehingga 2 pagi tadi dan ada beberapa orang cedera seperti dilaporkan media di sini.

Minta maaf kami tak dapat nak kongsikan banyak gambar dan cerita buat masa ini. Cuma saya boleh maklumkan, kami semua selamat dan sekejap lagi akan bergerak semula ke Jordan.


26 Julai (1.05 pagi): Pagi tadi kami memasuki semula Masjid Al Aqsa selepas berlakunya pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan malam tadi. Sungguh tak disangka, pihak berkuasa Israel akhirnya tunduk kepada desakan penunjuk perasaan yang mahu mesin pengimbas atau mesin pengesan logam tidak digunakan di semua laluan masuk ke masjid. Mesin pengimbas inilah antara punca berlakunya protes selama 11 hari.

Semalam, kami semua perlu melalui mesin pengimbas ini selain semua beg diperiksa. Hari ini semua mesin telah dicabut. Walaupun demikian, polis Israel masih mengawal ketat sekeliling masjid. Malah mereka mengiringi setiap masa rombongan pelawat Yahudi yang mengunjungi masjid tersebut manakala pengunjung berbangsa lain bebas bergerak tanpa kawalan. Keadaan ini, sedikit sebanyak memudahkan petugas media Malaysia melakukan tugas mereka.


(1.34 pagi): Usaha kami untuk memasuki Masjid Al Aqsa semalam. Terpaksa mencuri-curi merakam gambar di sebalik kawalan ketat polis Israel. Kawalan diketatkan selepas 2 anggota polis Israel mati ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.

Seorang imam masjid juga cedera ditembak polis Israel ketika tindakan menyuraikan tunjuk perasaan selain ramai penduduk Palestin yang dilaporkan cedera. Media melaporkan setakat ini, 3 penduduk Palestin turut terbunuh ketika bertempur dengan polis Israel.

(8.16 pagi): Sementara pertempuran di luar Masjid Al Aqsa reda, kami dipelawa oleh 2 orang kanak-kanak Palestin iaitu Khalid dan sepupunya iaitu Zahid untuk minum teh yang mereka sediakan.


Menurut Khalid, dia sudah biasa dengan suasana tunjuk perasaan ataupun suasana tegang libatkan penduduk Palestin dan polis Israel. Walaupun, berlaku pertempuran, dia dan adiknya tetap ke masjid.

Selain bersolat berjemaah, dia menyajikan teh kepada pelancong yang ke masjid tersebut untuk mendapatkan sedikit wang bagi membiayai yuran persekolahan dirinya. Untuk pelajar berusia 13 tahun sepertinya, Khalid perlu membayar kira-kira RM360 setahun yuran persekolahan, iaitu satu jumlah yang agak mahal bagi rakyat Palestin yang tinggal di Jerusalem.

Catatan berikutnya akan bersambung... –Kedahnews.com