TN50: Cadang Program PLKN Sebanyak Tiga Kali


KUALA LUMPUR - Cadangan  mewajibkan setiap anak muda menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebanyak tiga kali pada umur 12, 15 dan 17 tahun, merupakan antara perkara yang dikemukakan oleh Kumpulan Masa Depan Transformasi Nasional (TN50).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata melalui topik yang membincangkan identiti nasional, cadangan tersebut adalah bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman yang sama sebagai anak Malaysia.

"Pada hari ini kita lihat anak-anak muda tiada pengalaman bersama, misalnya ada yang ke sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan lain-lain.

"Kalau tak dapat himpunkan mereka dalam satu sekolah, sekurang-kurangnya mereka perlu sertai program PLKN ini untuk tiga kali dan melalui kursus yang sama tanpa mengira latar belakang," katanya selepas menghadiri perbincangan bersama kumpulan itu di sini, Selasa.

Kumpulan Masa Depan TN50 yang disertai 200 belia dan mentor terbahagi kepada lima kumpulan yang membincangkan lima tajuk utama iaitu Kerjaya dan Penjanaan Nilai, Pentadbiran dan Kepimpinan, Masyarakat, Gaya hidup, Kehidupan dan Kesejahteraan.

Khairy berkata cadangan lain ke arah merealisasikan TN50 adalah kemampuan rakyat untuk mewujudkan kehidupan yang lestari dan mampan di peringkat peribadi.

Sebagai contoh katanya, masyarakat dapat mengukur sendiri jumlah sampah yang dikeluarkan oleh isi rumah ke arah menjadi masyarakat sampah  atau bagaimana sisa pepejal dapat dikurangkan dari segi kutipan.

"Dari aspek kesihatan pula, ada cadangan supaya status kesihatan rakyat tidak diukur dari segi bilangan hospital dan doktor sahaja tetapi sejauh mana kita boleh mencegah penyakit dengan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Bagi tujuan itu, Khairy berkata ia melibatkan pelbagai aspek termasuk pendidikan, dasar nutrisi serta perancangan bandar yang cemerlang dalam menyediakan kemudahan ke arah gaya hidup sihat.

Turut diberi perhatian dalam sesi itu adalah cadangan melatih semula mereka yang telah menceburi sektor pekerjaan, selain cadangan mengukur mobiliti sosial dengan lebih kerap.

Sementara itu, Khairy berkata hasil dapatan oleh Kumpulan Masa Depan TN50 akan dibentangkan kepada umum pada Oktober ini , sebelum sesi ‘town hall’ terakhir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai rumusan perbincangan  yang berlangsung dari Januari hingga Oktober.

TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Kementerian Belia dan Sukan diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan aspirasi TN50 daripada golongan belia sepanjang 2017, selepas pelan transformasi nasional selama 30 tahun itu diumumkan  Najib semasa pembentangan Bajet 2017. -Bernama