TN50 Sediakan Rakyat Hadapi Revolusi Perindustrian Keempat - PM Najib


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan menyediakan rakyat untuk berhadapan dengan Revolusi Perindustrian Keempat.

Beliau berkata Revolusi Perindustrian Keempat telah menggugat model lama perniagaan, terutama dalam kalangan masyarakat yang berurusan tanpa wang dan tanpa kad.

Sambil memberikan contoh di China, beliau berkata seseorang itu boleh menggunakan telefon pintar untuk membeli apa sahaja dengan lebih mudah dan selesa sama ada di bazar atau secara dalam talian seperti Amazon.

"Inilah gaya hidup yang akan diamalkan di Malaysia pada masa depan. Inilah perubahan yang akan menimbulkan gangguan yang kita harus pastikan rakyat bersedia menghadapinya. Kita tidak boleh ubah masa depan tetapi kita boleh bantu rakyat untuk bersedia menghadapi masa depan," katanya dalam ucapan pembukaan Dialog Meja Bulat TN50 dengan para saintis Malaysia di sini hari ini.

Kira-kira 20 saintis dari pelbagai bidang menghadiri dialog meja bulat itu di Bangunan Perdana Putra di sini. Turut hadir Presiden Akademi Sains Malaysia Prof Datuk Asma Ismail dan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid.- BERNAMA