TN50 Tidak Akan Pinggirkan Bahasa Melayu



VISI Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak akan meminggirkan Bahasa Melayu (BM), sebaliknya kedudukan bahasa kebangsaan itu akan terus dimartabat hingga ke persada antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau berhasrat untuk melihat BM menjadi bahasa utama dan rasmi ASEAN serta menjadi satu daripada bahasa pengantara utama di peringkat global.

"Saya ingin menegaskan dalam konteks inisiatif TN50, kita berhasrat kedudukan BM juga akan dimartabatkan apabila Malaysia menjadi satu daripada 20 negara paling berjaya di dunia nanti.

"Saya juga ingin lihat BM menjadi bahasa utama di rantau ASEAN dan bahasa pengantara di peringkat global," katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2017 (PABM 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Najib berkata, BM juga berdepan cabaran dalam berdepan era Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital terutama bagaimana mengekalkan peranan bahasa ini.

Malah, katanya, ekonomi digital juga menuntut kerajaan mengambil inisiatif untuk memastikan penggunaan BM tidak terpinggir.

Selain itu, beliau berkata, penguasaan BM akan terus dirancang supaya lebih tersusun dan inklusif.

Bagaimanapun, langkah ini tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Inggeris atau bahasa lain.

Pada masa sama, Najib berkata, beliau berharap penggunaan BM dilakukan dengan betul dari segi tatacaranya termasuk dalam penggunaan media sosial seperti Facebook (FB), Twitter, Instagram dan SMS.

"Penggunaan tatabahasa yang 'tunggang-langgang', dan ejaan ‘hentam keromo’ dalam bahasa sosial media akan menghakiskan kedudukan BM terutama sekali dari segi penguasaannya dan tatacaranya.

"Saya berharap kita janganlah cenderung untuk menggunakan BM mengikut trend dalam media sosial yang sebenarnya menghakis kedudukan dan martabat BM,"katanya.

Sementara itu, PABM 2017 edisi ke-11 berlangsung dari 23 Julai hingga hari ini, disertai 53 peserta dari seluruh dunia termasuk Australia, Azerbaijan, China, Fiji, India, Mesir, Nigeria, Palestin dan Korea Selatan.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu Alam Melayu, antarabangsa dan antarabangsa di Malaysia.

Johan bagi setiap kategori menerima piala pusingan Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai RM20,000, hadiah iringan dan sijil.

Naib johan (setiap kategori) menerima piala iringan, wang tunai RM12,000, hadiah iringan dan sijil manakala tempat ketiga (setiap kategori) menerima piala iringan, wang tunai RM8,000, hadiah iringan dan sijil.

Sumber: MyMetro