Tony Pua Dingat Lihat Penyelewengan Dalam DAP, Tidak Lupa Tuduhan Rasuah Guan Eng


KETUA Publisiti DAP, Tony Pua diingatkan agar tidak lupa kenyataannya dahulu yang mahukan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercuti jika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, masih belum bercuti dan Tony tiba-tiba menjadi ‘pelupa’ tentang apa yang pernah dikatakannya.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, Tony yang  yang sebelum ini mendakwa dipilih rakyat menjadi ahli Parlimen untuk memantau masalah ra­suah diperingatkan supaya tidak lupa melihat masalah rasuah yang dihadapi oleh partinya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu diingatkan supaya tidak lupa tentang skandal ra­suah di Pulau Pinang melibatkan ketuanya, Guan Eng yang didakwa menggunakan ke­dudukan untuk mendapatkan ke­pen­tingan dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem bagi menukar status ta­nah pertanian kepada tujuan kediaman pada 18 Julai 2014.

Ujarnya, Guan Eng juga telah dituduh me­nya­lahgunakan ke­­dudukan beliau untuk membeli ru­­mah daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, iaitu jauh le­bih rendah daripada harga pasaran hartanah sebenar RM4.27 juta pada 18 Julai 2014.

“Tony mungkin sudah lupa bahawa dia pernah berkata Guan Eng perlu bercuti jika didakwa di mahkamah,

“Oleh kerana kita masih bercakap tentang rasuah, boleh tidak sekiranya Tony berkongsi cerita bersama rakyat Malaysia tentang mengapa Pulau Pinang membayar harga empat kali ganda lebih tinggi daripada harga asal bagi pembinaan projek terowong dasar laut dan me­ngapa kerajaan negeri membayar wang pendahuluan RM177.5 juta tanpa melibat kerja-kerja yang sudah dijalankan,” kata­nya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Vell Paari berkata, Tony juga perlu memperjelaskan projek lebuh raya termahal di Malaysia yang diusahakan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Jelas beliau, kos pembinaan Penang Island Link (PIL-1) mencecah RM7.5 bilion bersamaan RM385 juta per kilometer dan harga tersebut 140 peratus lebih mahal daripada Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) di Selangor.

“Oleh kerana Tony begitu bersungguh-sungguh me­­lawan gejala rasuah, saya mahu bertanya bagaimana DAP boleh menjalinkan kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini mereka gelar sebagai bapa segala rasuah. 

"Adakah kerana kerjasama itu, kini Tony mahu berkata segala propaganda berkenaan Dr. Mahathir sebelum ini hanya penipuan semata-mata?

“Jika benar Tony mahu menentang masalah rasuah, apa kata jika lepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen dan sertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Di Pulau Pinang ada masalah skandal kewangan bernilai berbilion ringgit, jadi lebih baik selesaikan dahulu masalah dalaman anda terutama melibatkan Ketua Menteri yang sudah didakwa di mahkamah,” katanya.-
Kedahnews.com