Tujuh Ditahan Bersabit Kes Rogol Guru Taska Di Selangor


KAJANG - Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam satu kejadian pecah rumah dan rogol di sebuah taska baru-baru di Ampang Jaya, Selangor.

Dalam operasi bermula kira-kira pukul 5 petang semalam hingga subuh pagi tadi, polis berjaya menahan ketujuh-tujuh suspek di sekitar Ampang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, semua tangkapan berusia lingkungan 27 hingga 45 tahun.

"Polis menahan semua individu tersebut bagi membantu siasatan berhubung satu kes rogol dua guru wanita taska tersebut pada 14 Julai lalu.

"Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, dua lelaki telah memecah masuk taska itu lalu merogol dua wanita berkenaan sebelum menyimbahnya dengan cecair peluntur Clorox dipercayai bagi menghilangkan bukti," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebentar tadi.

Menurut beliau, suspek turut mengambil sebuah televisyen dan telefon bimbit dari premis berkenaan.

"Hasil daripada tangkapan tersebut polis berjaya menemui semula telefon bimbit jenama Yes.

"Kesemua tangkapan kini dalam proses untuk mendapatkan reman pagi ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," ujarnya. 

Sumber: Kosmo Online