Tumpu Program Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak


PUTRAJAYA – Isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan ditangani secara serius melalui langkah pendidikan intervensi yang holistik dan kolektif oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama jabatan dan agensi di bawahnya.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata usaha tersebut akan dilakukan melalui pelaksanaan program penjelasan jenayah seksual kanak-kanak pada peringkat daerah dan negeri bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang ramai tentang isu berkenaan.

“Kita akan bergerak ke banyak lokasi yang telah ditetapkan dan sudah semestinya bukan penerangan mengenai isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak sahaja yang akan dibuat tetapi akan dicampurkan dengan program dan gerak kerja yang lain agar kementerian dapat menggunakan sumber yang ada dengan sebaiknya,” katanya.

“Kita ada buku panduan yang menyatakan dari segi undang-undang, peraturan dan meningkatkan kesedaran mengenai jenayah ini dan pada saya undang-undang tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya perkara ini tidak dihayati semua pihak,” katanya kepada pemberita elepas merasmikan Taklimat Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini, hari ini.

Taklimat tersebut diadakan sebagai persediaan kepada pegawai KKMM serta agensi di bawahnya untuk memberi penerangan mengenai jenayah itu kepada rakyat.

“Bagi pihak KKMM, penerangan mengenai jenayah ini kepada rakyat boleh dilakukan menerusi Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang akan turut menyiarkan video kempen kesedaran jenayah tersebut di saluran-saluran mereka,” kata Sharifah Zarah.

Beliau berkata, dari 2014 hingga 2016 sahaja, terdapat 7,862 kes tersebut yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun.

Oleh itu, kesedaran dan tindakan bersama melibatkan semua pihak amat penting dan bertepatan sebagai langkah utama dalam menangani dan membanteras jenayah seksual kanak-kanak dengan lebih berkesan dan bersepadu, katanya.

Pada 22 Jun lalu,  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Mahkamah  Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang beroperasi di Istana Kehakiman, Putrajaya yang ditubuhkan agar dapat mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak. – BERNAMA