Ujian Peluru Berpandu Korea Utara, Amaran Buat AS


PYONGYANG - KOREA UTARA. Kejayaan satu ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) digambarkan sebagai amaran keras buat Amerika Syarikat, lapor BBC.

Pemimpinnya, Kim Jong-un berkata ujian tersebut membuktikan bahawa seluruh AS berada dalam lingkungan peluru berpandu tersebut, lapor media negara itu.

“Pelancaran ICBM berjaya menguji kapasiti kemasukan semula peluru berpandu tersebut serta mengesahkan semua tanah besar AS berada di dalam jarak serangan,” katanya.

Korea Utara mengesahkan pelancaran ujian tersebut dan mendakwa ICBM terbang selama 47 minit dan mencapai altitud  3,724KM.

Pelancaran tersebut berlangsung tiga minggu selepas ujian pertama ICBM di Korea Utara dengan menggunakan model roket yang sama iaitu Hwasong-14.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan tindakan Korea Utara tersebut sebagai tindakan melulu dan berbahaya oleh negara tersebut.

China turut mengutuk ujian peluru berpandu tersebut serta mendesak pihak yang berkenaan untuk melaksanakan kekangan dan mengelak ketegangan.

Sumber: Sinar Harian