Usah Biarkan Media Sosial Kawal Kita


KEMUNCULAN Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan internet membawa satu keadaan yang disebut oleh Marshall Mc Luhan, dunia sebagai sebuah perkampungan global.

Situasi ini juga digelar sebagai globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Internet dilihat sebagai media massa yang paling dinamik abad ini, bersifat interaktif dan menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk menggunakannya.

Internet tidak seperti televisyen dan radio, ia menjadi gudang pengetahuan dan maklumat yang cukup besar. Masyarakat boleh mendapat banyak faedah daripada internet yang terdiri daripada pelbagai bahan untuk perniagaan, pendidikan, hiburan, dan semua yang diinginkan. Dengan ada Web 2.0, kedatangan media sosial (MS) menjadikan landskap perkongsian maklumat berubah.

Penggunaan MS adalah trend masakini, terutama dalam kalangan generasi muda. Hasil kajian dijalankan mengesahkan bahawa pengetahuan/celik menggunakan MS adalah yang tertinggi berbanding dengan aplikasi internet lain dalam kalangan pengguna Internet muda. Namun, wujud masalah dalam isu literasi berkaitan penyebaran maklumat melalui MS.

Pengguna harus tahu bahawa MS boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Ia adalah sejenis alat yang jenis penggunaannya adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Dalam erti kata lain, MS atau internet adalah pedang dua mata. Namun begitu, masih ramai orang melihat internet sebagai penyumbang kepada gejala tidak bermoral dengan penyebaran bahan pornografi.

Kebelakangan ini, banyak isu berkaitan penyebaran maklumat negatif melalui MS. Dalam masyarakat sivil, ada garis panduan dan cara mengatasi salah guna sumber atau maklumat yang tersebar sama ada baik atau buruk. Jadi, jika garis panduan ini diikuti dengan baik, pengguna internet dan MS tidak akan dipengaruhi dengan kejadian yang tidak diingini seperti penyebaran berita palsu.

Jika maklumat yang disebarkan belum terbukti kesahihannya, prinsip kesahihan harus digunakan. Sebelum menyebarkan sesuatu maklumat, gambar atau video yang diterima, adalah wajar untuk memastikan kesahihan maklumat yang diterima.

Ini adalah langkah terbaik untuk mengelak kita terjerumus dalam dosa kerana berkongsi sumber atau maklumat yang tidak benar. Tambahan lagi, menyebarkan sesuatu maklumat yang berkaitan orang ketiga akan membawa kesan buruk terhadap individu atau kumpulan tertentu.

Maklumat palsu

Maklumat palsu kadangkala direka hanya untuk menjatuhkan seseorang individu atau sebuah organisasi. Jika tidak dibendung dari awal akan membawa kepada pergaduhan dan fitnah. Pada zaman MS ini, ada segelintir masyarakat menggunakan MS untuk menyebarkan fitnah. Tambahan pula kita mesti saling tegur-menegur supaya fitnah tidak dijadikan amalan. Jika tidak, masyarakat akan dilanda huru-hara.

Hari lebaran sedang kita raikan dan kemeriahannya terasa. Namun, kita tidak boleh nafikan kemeriahan raya, silatulrahim akan turut menerima kesan dengan penggunaan media sosial yang berleluasa pada masa kini. Walaupun media sosial itu banyak kebaikannya tetapi janganlah kita membiarkan media sosial mengganggu kemeriahan hari raya dan silaturahim pada hari yang mulia ini. Saya merasakan ramai yang turut berkongsi kebimbangan seperti saya.

Dalam dunia globalisasi hari ini, penggunaan media sosial sememangnya tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Ia sudah menjadi sebahagian aktiviti harian dalam kehidupan sosial masa kini kerana salah satu peranan utamanya ialah untuk interaksi sosial. Seseorang mungkin bertanya adakah media sosial boleh membuatkan kita menjadi antisosial?

Ini kerana di mana sahaja sama ada di rumah dan tempat awam, setiap pengguna media sosial begitu asyik dengan alat peranti masing-masing sehingga mengabaikan orang lain yang berada bersebelahan atau berhampiran. Keseronokan yang berlebihan terhadap alat peranti dan penggunaan media sosial menjadikan seseorang itu boleh lupa diri kerana terlalu khayal dengan kecanggihan yang semuanya boleh dicapai melalui hujung jari.

Akibatnya, orang sebelah menjadi jauh dan orang jauh menjadi dekat. Kita berkomunikasi dengan orang jauh melalui alam maya tetapi kita lupa bahawa kita mengabaikan komunikasi dengan orang berhampiran kita. Pada masa perayaan sekarang, media sosial digunakan untuk menghantar ucapan kepada keluarga dan rakan-rakan. Sekurang-kurangnya dengan cara ini kad raya secara konvensional digantikan melalui satu kaedah yang tidak memerlukan kos dan cepat.

Penggunaan media sosial di musim perayaan ini haruslah dikawal agar perjumpaan bersama sanak saudara untuk memeriahkan hari lebaran itu menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan. Inilah masanya kita mendekatkan silatulrahim sesama ahli keluarga.

Masing-masing harus tepuk dada dan tanya selera patutkah kita membenarkan media sosial membayangi sambutan lebaran iaitu hari yang diisytiharkan sebagai 'hari kemenangan' setelah melalui satu latihan selama sebulan pada Ramadan menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu terhadap urusan duniawi yang lain dari subuh hingga senja?

Saudara-mara perlu perhatian

Sudah tentu tidak. Jika begitu, kita harus mengawal diri terutama pada aplikasi popular seperti whatsApp dan telegram. Kedua-dua aplikasi ini akan berstatus online 24 jam sehari melainkan kita mematikan data pada telefon pintar masing-masing. 

Nasihat saya gunakanlah alat peranti secara berpada-pada. Saudara mara dan tetamu di sekeliling juga memerlukan perhatian. Cubalah hanya melayan telefon pintar empat kali sehari - pagi; tengah hari; petang dan malam serta memastikan data itu dimatikan pada masa yang tidak digunakan.

Atau lebih baik lagi kita layan telefon pintar pada masa tidak ada tetamu yang melawat rumah kita. Adakah anda sanggup mencuba? Ketika melawat saudara-mara atau rakan, gunalah kaedah yang sama. Cara ini seharusnya digunakan di mana sahaja kita berada untuk meningkatkan silaturrahim.

Saya secara peribadi, adalah pengguna tegar media sosial. Namun, saya mula mengamalkan kaedah yang saya sebutkan di sini. Jangan kita biarkan media sosial mengawal kehidupan kita. Media sosial adalah di bawah kawalan dan kita perlu mengawal media sosial. Marilah kita menjadikan raya ini sebagai masa silaturahim dan masa berkualiti dengan orang yang kita sayangi dan saudara-mara, bukannya raya di bawah pengaruh media sosial.

Sumber: Prof Dr Ali Salman/BH Online