Seorang pendakwah muda Indonesia tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam susulan kenyataan ‘panas’ dengan mengatakan bahawa salah satu nikmat di dalam syurga yang dijanjikan oleh Allah adalah ‘pesta seks’.
Ustaz Syamsudin Nur Makkah, 25, mengakui kekhilafan dan ketelanjurannya mengeluarkan kenyataan ketika menyampaikan ceramah dalam sebuah program dakwah, Islam Itu Indah yang bersiaran di stesen televisyen tempatan Trans7, pada 15 Julai lalu.
Memetik laporan Tribunnews, pemuda itu yang mesra disapa sebagai Ustaz Syam memuat naik rakaman video permohonan maaf di laman sosial Twitter menggunakan nama @AdellaWibawa.
“Saya Syamsuddin Nur Makkah mengucapkan permohonan maaf yang sebesar-besarnya atas kesalahan dan kekhilafan yang saya lakukan pada tayangan Islam Itu Indah pada Sabtu lalu, di mana saya mengungkapkan kata-kata yang mungkin menyakiti hati para penonton, jemaah dan ia sememangnya tidak patut saya katakan.
“Ini (kenyataan) semua kerana kekurangan ilmu saya, di mana saya masih lagi belajar. Oleh kerana itu, saya mohon agar diberi kemaafan atas kesalahan-kesalahan saya,” demikian menurutnya, baru-baru ini.
Terdahulu, Ustaz muda itu dengan yakin dan tanpa ragu-ragu mengeluarkan kenyataan dengan berkata: “Salah satu nikmat yang ada dalam syurga adalah pesta seks”, membuatkan para penonton yang terdiri dalam kalangan wanita dewasa dilihat tergamam.
"Minta maaf, kerana inilah yang kita tahan-tahan (seks) selama di dunia. Inilah yang kita tahan-tahan di dunia dan kenikmatan terbesar yang diberikan Allah SWT di syurga adalah pesta seks,” katanya dengan lebih lanjut.
Akibatnya, rata-rata pengguna media sosial dan masyarakat Islam khususnya di Indonesia mengecam keras kenyataan dibuat da’i muda itu.
@K_Muslim_UNRAM: Ini kenyataan dalam ceramah yang tidak mendidik. Nanti anak-anak kita yang masih muda mahu cepat-cepat masuk syurga.
@Pertapatua_: Keterlaluan, ini sama seperti menyamakan Tuhan dengan seorang ‘bapa ayam’ yang menyediakan bidadari hanya untuk melayani nafsu seks mereka.
@b3811nez: Biar betul @TRANSTV_CORP, (ceramah) ustaz seperti ini anda siarkan? Kamu semua sihat?
Susulan itu, Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) menjelaskan pihaknya memandang serius segala kritikan yang diluahkan netizen dan akan mempertimbangkan tindakan lanjut.
Sumber: Malaysian Digest