Wabak Rabies Dipantau Supaya Tidak Menular Ke Semenanjung


KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengharamkan kemasukan kucing dan anjing dari Sarawak di samping melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan wabak penyakit anjing gila atau rabies tidak menular ke Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata pihaknya telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan mengikut garis panduan antaranya pengukuhan aktiviti pemantauan kes gigitan dan promosi kesihatan.

Katanya pemantauan berterusan ini penting bagi melihat jika terdapat tanda-tanda dijangkiti memandangkan tiada pengesahan klinikal yang boleh dilakukan bagi mengenal pasti penyakit itu.

"Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga telah mengharamkan kemasukan dan import haiwan kesayangan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia pada Isnin lalu (3 Julai) bagi mengelakkan kemungkinan penyebaran wabak rabies.

"Jadi tidak timbul isu wabak ini merebak ke Semenanjung, kerana langkah pemantauan ini memang sering dilakukan kerana ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) kami. Keutamaan juga bukan sahaja diberikan di kawasan terjejas sahaja, malah seluruh negara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menghapus seekor anak anjing yang menunjukkan simptom virus rabies di Kampung Lebor, Gedong, Serian

Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan lima kampung di Daerah Serian sebagai kawasan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies dan mengeluarkan arahan agar semua anjing peliharaan di kawasan dalam lingkungan 10km di situ, diberi vaksin terhadap penyakit berkenaan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turut menjelaskan bahawa kampung terbabit ialah Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Tiga kanak-kanak di Daerah Serian dijangkiti rabies seperti yang diumumkan Hospital Umum Sarawak pada 22 Jun. Dua daripada mereka, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya berusia enam tahun, meninggal dunia semalam. Mangsa ketiga, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Dr Quaza Nizamuddin berkata pihaknya masih belum mengenal pasti punca utama yang menyebabkan penularan penyakit rabies di Sarawak, namun tidak menolak kemungkinan bahawa penularan itu berpunca dari negara jiran.

Katanya buat masa ini, negara mempunyai 20,000 dos bekalan stok vaksin anti-rabies dan jumlah itu mencukupi bagi menangani kes gigitan anjing dalam kalangan manusia.

Sebanyak 6,000 dos stok vaksin anti-rabies juga telah dihantar ke Sarawak, tiada isu kita kekurangan vaksin," katanya. - BERNAMA